UCAPAN RAYA TUAN PENGARAH AMBILAN JULAI DI BUKA ALASAN...ALASAN...ALASAN STAF KKLJ BERAYA SALAM PERPISAHAN JOM LIKE FACEBOOK PAGE

Wednesday, September 30, 2015

NASI TIDAK BERSALAH

Pejam celik pejam celik tinggal lagi sebulan rupanya…

Apa dia?

Sasaran yang KJ letak dahulu, hendak kurus pada 31 Oktober 2015. Boleh lihat pada banner di atas. Kata Kevin Zahri, kalau hendak kurus kena beritahu semua orang baru nanti semangat berusaha hendak kurus  tetapi sekarang KJ rasa menyesal pun ada. HAH. Boleh baca di SINI

Tips atau ilmu kedua kesihatan yang baru KJ tahu ialah nasi tidak bersalah dalam pertambahan berat atau kegemukan seseorang, yang bersalah adalah jumlah pengambilan nasi yang melebihi keperluan badan, tabiat pemakanan dan gaya hidup keseluruhan.

Patutlah, KJ kononnya tidak mahu makan nasi. Maka tidak mengambil nasi pada waktu sarapan dan makan tengah hari dan akhirnya apabila waktu makan malam, KJ melantak 2 pinggan nasi. Terketar-ketar lutut tidak ambil nasi dalam sehari.

Kali ini KJ cuba kawal pengambilan nasi, rasanya sebesar penumbuk sudah cukup. Harap dalam tempoh sebulan ini, nampaklah hasilnya.HAH

siapa yang tidak tergoda kalau macam ini?

Tuesday, September 29, 2015

TIPS ELAK PENYAKIT AKIBAT JEREBU

Pagi ini, KJ pergi kerja seperti biasa. Hanya pelajar sekolah sahaja dibenarkan bercuti. Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, KJ sempat mengambil gambar keadaan jerebu. Makin serius dan KJ sudah mula batuk dan rasa gatal tekak. Rasa tidak selesa!!

semasa perjalanan ke tempat kerja

Maka disini, KJ ingin berkongsi tips elak penyakit akibat jerebu yang telah KJ kumpulkan untuk rujukan KJ.

Pertama, kurangkan aktiviti luar. Nasib baik, pejabat KJ berhawa dingin dan bengkel/kelas tertutup. Tetapi, sekarang ini, KJ dan pasukan petanque KKLJ kerap berlatih untuk bermain semasa Hari Sukan Negara 10 oktober ini. Tidak tahulah sama ada pertandingan itu akan ditunda atau tidak.

Kedua, Banyakkan minum air sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Sekarang ini pun KJ selalu membawa ke mana-mana air mineral botol besar itu, tetapi jarang habis. KJ selalu juga pesan kepada pelajar-pelajar KJ supaya sentiasa minum air mineral yang di jual di Koperasi Kolej Komuniti Ledang JohorBerhad. Sempat lagi KJ promosi!

Ketiga, gunakan topeng pernafasan apabila tahap kualiti udara tidak sihat. Ini dapat menapis dan menghalang udara yang kotor serta berhabuk dihidu.

Keempat, pastikan persekitaran dalam rumah adalah bersih. Jangan merokok. Apa beza jerebu dan asap rokok?




Akhir sekali, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera jika keadaan menjadi semakin teruk.


Friday, September 25, 2015

BOSAN BERJIMAT?

Anda bosan berjimat?

Pastikan anda seorang yang berjimat bukan kedekut. Adakah anda jelas perbezaan diantara jimat dan kedekut?

Jimat adalah anda membeli sesuatu benda yang mendatangkan kebaikan kepada anda, tetapi jika tidak, anda tidak membelinya dan menyimpan. Manakala kedekut adalah anda berkira dalam mengeluarkan wang walaupun anda tahu benda tersebut mendatangkan kebaikan kepada anda.

Adakah anda berasa bosan berjimat? Amat bahaya jika anda mempunyai perasaan hanya wang sahaja mampu melahirkan kegembiraan. Banyak cara dapat dilakukan bagi melahirkan kegembiraan atau mengatasi kebosanan tanpa mengeluarkan wang. Contohnya, berjoging atau bersiar-siar di taman.

Bagi KJ, jika sesuatu itu dapat KJ jimatkan, KJ akan berusaha mengurangkan perbelanjaannya. Contohnya, sebelum ini KJ menggunakan broadband yang tidak mudah alih untuk komputer riba KJ dan KJ juga melanggan internet untuk telefon setiap bulan. Bagi broadband, KJ perlu bayar dalam RM 70 setiap bulan dan untuk internet telefon KJ melanggan dalam RM 60 sebulan. Jumlahnya RM 130 sebulan.

Sekarang ini, KJ guna broadband mudah alih yang boleh di pakai untuk telefon dan komputer riba serentak. Hanya RM 90 sebulan. Jadi KJ sudah dapat jimat RM 40 sebulan disitu.


Jadi, pesan KJ, kita perlu bijak berjimat tetapi jangan sampai menjadi kedekut!!


Wednesday, September 23, 2015

TIPS KESELAMATAN JALAN RAYA

Esok seluruh umat islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban

InsyaALLAH, KJ dan sekeluarga akan mengorbankan seekor lembu esok dan hari raya kedua KJ akan bertolak ke Kelantan. Sesiapa orang Kelantan, kita jumpa disana ye.

Hari ini pun pelajar-pelajar KJ pulang ke kampong halaman masing-masing dan mereka memaklumkan dalam WhatsApp berlaku kesesakan jalan raya. Jadi KJ harap semua berhati-hati semasa di jalan raya dan disini KJ hendak kongsikan satu video, Tips Keselamatan Jalan Raya terutamanya untuk penunggang motosikal. Video ini dirakamkan oleh pelajar KJ untuk satu program. Ini juga merupakan satu bentuk pembelajaran.



Akhir sekali, KJ mengucapkan selamat hari raya aidil adha. Sentiasa beringat ketika beraya. Dan terimalah ucapan dari Ketua Pengarah JPKK


Nota kaki: Pengambilan bulan November Kolej Komuniti Ledang bagi kursus Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara, SijilPengoperasian perniagaan dan Sijil Kenderaan Ringan telah dibuka sekarang. Datang ke kaunter, laman web Kolej Komuniti Ledang atau Facebook KKLEJ untuk mendaftar. Ayuh, Jangan ketinggalan!!!!

Sunday, September 20, 2015

1001 KISAH KONVOKESYEN

Semalam, 19 September 2015

Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor 2015 berlangsung.


Dua hari KJ berkampung di UTeM, tempat dimana berlangsungnya majlis tersebut. Pada mulanya, KJ pergi ujibakat untuk menjadi pengacara majlis, tetapi KJ gagal terpilih. Kemudiannya KJ ditarik menjadi ahli jawatankuasa Media dan Promosi.

Pada 18 September 2015, sesi raptai dan pengambilan jubah berlangsung. Dapatlah KJ berjumpa sekejap dengan pelajar-pelajar kelas KJ, Rafi’i, Siva, Faiq, Syed, Asyraf, Echam, Shafiq,Safwan, Muazam, Suhail, Rauf, Hafiz dan Syukri. 4 orang tidak dapat hadir nazirul faiz, daus, faidhi dan kimi. Tapi KJ tak sempat bergambar sangat, sebab KJ terkejar-kejar menyediakan bilik media dan buat promosi. Hari itu KJ balik agak lewat, pukul 9 lebih KJ sampai rumah.



Pada 19 september, sesi konvokesyen mereka adalah pada sesi kedua iaitu selepas zohor. Sesi pertama adalah graduan dari Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka. Pasukan kami perlu mengedarkan akhbar di awal pagi, membuat rakaman video graduan cemerlang dan melayan pihak media. Memang KJ tidak sempat berjumpa dengan pelajar KJ. Tambahan pula, talian telefon dan internet KJ sangat teruk. Memang tidak dapat dihubungi.


Selesai sahaja sesi kedua, para graduan keluar dewan dan bergambar. Kelihatan riak gembira di muka wajah ibubapa masing-masing. Dari jauh KJ melihat seorang pelajar KJ, yang agak nakal di dalam kelas tetapi masih ikut arahan KJ. Dia mengangkat tangan ke arah KJ, KJ hanya tersenyum. KJ melihat dia memimpin ibunya ke kawasan photobooth dan bergambar dengan senyuman. KJ pun turut terikut senyum dengan bangga.


Petang itu, KJ balik rumah kepenatan. Banyak Wassap masuk, akibat talian internet KJ sangat teruk di UTeM. KJ membacanya

“Encik di mana? Jom bergambar”

Tiada rezeki!!

Semoga anda semua terus bersinar bagai mutiara.

Ingin melihat lebih banyak gambar, video dan info? Like laman facebook Kolej Komuniti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor