UCAPAN RAYA TUAN PENGARAH AMBILAN JULAI DI BUKA ALASAN...ALASAN...ALASAN STAF KKLJ BERAYA SALAM PERPISAHAN JOM LIKE FACEBOOK PAGE

Sunday, November 15, 2015

KISAH PERJALANAN ROKET AIR

15 November 2015

Alhamdulillah kami Berjaya memenangi tempat kedua pertandingan roket air kategori IPTA / IPTS kategori terbuka Melaka dimana kami membawa pulang wang tunai RM 1000, medal dan sijil. Kemenangan yang KJ tidak jangka tetapi sangat puas hati melihat pelajar-pelajar KJ gembira.



Pada pagi itu, kami hadir tanpa harapan yang tinggi. Sehingga sampai satu tahap malu untuk mengeluarkan roket air itu. Ini kerana kami melihat reka bentuk roket air dari peserta-peserta lain sangat hebat, dan yang kelakarnya roket air kami siap dengan warna-warni dan lukisan harimau Malaya. Inilah pengalaman pertama kami.

roket 'Harimau Malaya' kami
Undian di cabut, dan kami memang “bertuah” menjadi peserta pertama untuk melancarkan roket air kami. Ada 2 tugasan yang perlu kami lakukan iaitu kategori payung terjun (parachute) dan sasaran (target). Sebelum pertandingan dimulakan, juri menerangkan bagaimana roket air berfungsi, rekabentuk aerodinamik, titik pusat roket, konsep payung terjun, dan pelbagai lagi ilmu berteraskan sains. KJ perhatikan pelajar-pelajar KJ, mereka amat tertarik dengan ilmu baru itu walaupun KJ tahu roket air yang mereka cipta ini berkonsepkan main buat / main jadi sahaja berdasarkan sumber internet. KJ memang memberi sepenuh kebebasan kepada mereka dan hanya memberi panduan dan galakkan sahaja.

Apabila kami diminta melancarkan roket kami sebagai peserta pertama, sudah tentu semua mata akan tertumpu kepada kami. KJ berdiri di luar kawasan pertandingan sama seperti penonton lain, hanya membiarkan 4 orang pelajar KJ iaitu Kak Yan, Syahmie, Mat dan Udin menyiapkan roket untuk dilancarkan di tengah-tengah tapak pertandingan.

Air di isi, roket air dimasukkan ke dalam pelancar dan tekanan di bubuh. Ini adalah untuk kategori pertama iaitu Payung terjun. Roket akan dilancarkan dengan tekanan yang tinggi dan akan mengeluarkan payung terjun. Masa dicatatkan bermula daripada payung terjun kembang sehingga mana-mana bahagian roket pertama jejak ke tanah. Lagi lama masa di ambil, lagi bagus dan markah lebih tinggi. Seram sejuk dibuatnya, ini kerana sepanjang kami cuba kat kolej, hanya sekali sahaja payung terjun itu Berjaya kembang.

Kiraan dimulakan…3….2….1….roket air kami dilepaskan, laju meluncur ke atas…dan payung terjun Berjaya mengembang….perlahan-lahan roket air itu turun TETAPI, penutup di bahagian hadapan roket air tercabut dan laju mendarat. Masa diberhentikan apabila penutup itu jejak tanah. Jelas kelihatan di muka pelajar KJ perasaan kecewa itu. KJ menasihati mereka

“Nikmati pertandingan ini, kamu semua sudah berusaha, janji payung terjun kamu terbuka. Ada satu lagi tugasan, jangan mengalah

Rupanya, banyak juga payung terjun roket air peserta lain tidak terbuka.

Selepas kesemua peserta melancarkan roket mereka untuk kategori payung terjun, kategori sasaran pula mengambil tempat. Lagi sekali, kami menjadi penanda aras dan rujukan peserta lain bagi menentukan sudut dan tekanan yang perlu diletakkan bagi roket air mencapai sasarannya. Inilah akibat apabila menjadi peserta pertama.

Bagi kategori sasaran, peserta perlu melancarkan roket air hampir dengan sasaran yang telah ditetapkan. Lagi hampir dengan sasarannya, lagi tinggi markah diperolehi. Setiap kumpulan diberikan 2 kali peluang, pertama adalah cubaan dan kedua adalah pertandingan. KJ perhatikan dari jauh pelajar-pelajar KJ menyiapkan roket air untuk kategori sasaran itu. Sesekali, mereka pandang KJ untuk menanyakan berapa sudut dan tekanan yang perlu diletakkan. KJ main agak berdasarkan jarak tanpa melalui kiraan seperti yang pernah KJ belajar semasa zaman universiti dahulu. KJ menyuruh mereka setkan sudut 40o dan tekanan bersamaan 3 atmosfera.

Cubaan pertama, hampir mengena sasaran tetapi tersasar ke sebelah kanan sebanyak 2 meter. KJ minta mereka mengarahkan roket air itu kekiri sedikit untuk pelancaran kedua dimana kedudukan roket air itu nanti yang akan di kira sebagai markah. Ini kerana semasa cubaan pertama, faktor angin sekeliling kami tidak pertimbangkan. Dan apabila dilancarkan untuk kedua kalinya, roket air itu tersasar juga ke arah kanan sejauh 3.9 meter. Agak okay untuk menjadi penanda aras kepada pasukan lain seterusnya.

Dan apabila pasukan lain bersiap sedia untuk melancarkan roket air mereka, datang seorang pelajar KJ ke arah KJ

“Encik tengok itu, pensyarah dia yang setkan kedudukan roket air mereka”, katanya sambil menunjuk kearah pasukan yang tengah bersedia

Aku hanya tersenyum dan membalas

“Saya percaya dengan kemampuan kamu, saya bagi arahan dan pantau dari jauh sahaja”

Dan pada jam 3.30 petang, telah diumumkan pemenang. Muka kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelajar-pelajar KJ. Syukur. Jelas berbaloi dengan usaha dan komitmen mereka. Jika tidak menang sekali pun, KJ tetap bangga dengan mereka.



Jika anda ingin mengetahui cara membuat roket air dan juga kisah perjalanan roket air siri kedua dimana KJ akan menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa proses menyiapkan roket air itu. Anda perlulah ikut (follow), kongsi (share) dan suka (like) blog ini. Jangan terlepas!!



Nota kaki: Anda ingin merasa peluang belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti seperti mereka? Jom belajar di Kolej Komuniti Ledang. Sebarang pertanyaan, boleh bertanya dan rujuk di facebook Kolej Komuniti Ledang.

No comments:

Post a Comment